20 pelajar UiTM Kuala Pilah menjayakan Program Mesra Rakyat Parit Tinggi

Kuala Pilah, Mei 19, 2019: Seramai 20 peserta yang terdiri daripada pelajar UiTM Kuala Pilah menjayakan program khidmat masyarakat bersama-sama penduduk Kampung Parit Tinggi yang dinamakan sebagai Program Mesra Rakyat Parit Tinggi di Parit Tinggi pada 19 Mei 2019 .

Program Mesra Rakyat Parit Tinggi yang bermula jam 12 tengahari hingga 10 malam yang bertungkus-lumus menjayakan program ini agar berjalan dengan lancar. Seramai 2 keluarga asnaf sekitar Kampung Parit Tinggi mendapat manfaat daripada program ini. Sumbangan berupa pek makanan diserahkan oleh pelajar-pelajar UiTM Kuala Pilah.

Dalam menghidupkan penghayatan di bulan Ramadan, majlis berbuka puasa turut diadakan bagi mengeratkan hubungan pelajar dan penduduk Kampung Parit Tinggi.

Menurut penasihat Program Mesra Rakyat Parit Tinggi , Dr. Sheikh Ahmad Izaddin bin Sheikh Md. Ghazali, program ini merupakan satu bentuk latihan kepimpinan pelajar untuk merasai pengalaman sebenar dalam mengurus program khidmat masyarakat serta memahami kehidupan sebenar masyarakat kampung.

“Program ini bertujuan mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan komuniti setempat, dan secara tidak langsung mendidik jiwa mahasiswa kearah memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

“Program-program seperti ini perlu dilaksanakan secara konsisten agar mahasiswa dapat menerima impak yang besar hasil program khidmat masyarakat ini  iaitu tertanamnya jiwa untuk berbakti kepada komuniti, semangat kerjasama dan kemahiran menjalankan tugasan yang memerlukan kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Mesra Rakyat Parit Tinggi, Mohamad Syahmim Bin Mohamad Din berkata, melalui program ini , mahasiswa dapat menyelami sendiri kehidupan masyarakat yang sebenar dan dapat menyemai semangat kerjasama antara penduduk kampung dengan mahasiswa.

Pada masa sama katanya, program ini juga dapat mengeratkan silaturahim apabila dapat memasak juadah berbuka dengan bergotong-royong melibatkan mahasiswa bersama penduduk setempat. Aktiviti seperti ini dilihat dapat mewujudkan masyarakat yang berbudaya penyayang.

Foto yang berkaitan:

0
0