1+4: BUKTI INSTITUSI DIRAJA RELEVAN

SHAH ALAM, 22 Mei 2023 – Satu perkara baru bagi negara Malaysia di mana sepanjang tempoh penggal pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong mempunyai empat Perdana Menteri. Akibat masalah dalaman ketidakstabilan politik negara, telah menampilkan baginda dalam memainkan peranan penting mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Maka itu, Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu telah melaksanakan lagi Wacana Felo yang bertajuk 1+4: Bukti Institusi Diraja Relevan pada 22 Mei 2023 (Isnin) bermula pada jam 10.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari. Penampilan Encik Mujibu Abd Muis, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu sebagai panel dan dikelola oleh saudari Nur Aryani Fitri Shamsu Bahrin, pelajar Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan(K) Bahasa Melayu Komunikasi Profesional, Akademi Pengajian Bahasa, UiTM dan dalam pada masa yang sama saudari Nur Aryani merupakan pelajar latihan industri di Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu.

Kalau diperhatikan dengan jelas, betapa mencabarnya institusi Yang di-Pertuan Agong dalam memastikan kemelut-kemelut ini berjaya diselesaikan dengan baik dan boleh dileraikan secara aman. Bukan sahaja kita dapat melihat peranan cemerlang baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan masalah, tapi penting juga bagaimana Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan dan hemat baginda untuk memanggil kesemua Raja-Raja dalam satu persidangan khas untuk membincangkan dan menyelesaikan hal ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah benar-benar menjadi tonggak terpenting dalam penyelesaian hal ini dan menurut pandangan Encik Mujibu, beliau merasa kalau negara lain sekiranya masalah ini berlaku dalam tempoh tiga tahun (2020-2023) mungkin akan menyaksikan pergolakan politik yang berpanjangan dan mungkin akan mengheret negara ke kancah krisis yang boleh membawa impak kepada peperangan. Tetapi disebabkan kita ada institusi Raja, maka masalah ini dapat diselesaikan serta kesemua yang bertelagah itu mampu berdamai dan yang paling penting kita melihat bagaimana kekusutan politik, permasalahan yang berlaku itu boleh diselesaikan atas sebab kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

Inilah bukti bahawa apa yang kita tekankan di Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu bahawa institusi beraja adalah pancuran keadilan serta keperluan institusi ini dikekal memandangkan kita terbuka atau terdedah beberapa krisis politik dan dalam pada masa yang sama juga kepentingan untuk adanya satu institusi pengimbang yang berkecuali dalam konteks negara yang berbilang agama, kaum dan budaya. Ini satu perkara bersejarah kepada kita rakyat negara Malaysia.