38 penuntut UiTM rangkul emas ITEX2019

Sekumpulan 38 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Komunikasi dan Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam merangkul satu pingat emas dan satu pingat perak serta anugerah khas dalam Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2019 (ITEX2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 38 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Komunikasi dan Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam merangkul satu pingat emas dan satu pingat perak serta anugerah khas dalam Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2019 (ITEX2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Pingat emas dimenangi menerusi ‘Room4Autism’ yang dicipta khas untuk pelajar autistik manakala perak menerusi ‘Smart RB’, sejenis tong kitar semula yang mampu mengesan jenis sampah seperti aluminium, kertas dan plastik.

Ketua Pusat Pengajian Komunikasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, Dr Yuslinda Mat Yassin, berkata ia satu pencapaian membanggakan kerana itu adalah penyertaan sulung dalam program itu.

Katanya, fakulti itu menyertai ITEX2019 untuk memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar program untuk mencipta satu benda yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kami amat terkejut kerana kedua-dua produk yang kami hasilkan ini berjaya menarik minat pihak juri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Pameran berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Rekaan dan Inovasi Malaysia (MINDS) kerjasama strategik C.I.S Network Sdn Bhd yang berlangsung dari 2 hingga 4 Mei.

Antara negara yang terbabit pada edisi ke-30 penganjuran pameran itu ialah China, Thailand, Indonesia, Poland, Bangladesh, Yaman, Bahrain, Korea dan Arab Saudi.

Dalam pada itu, Ketua Projek bagi ‘Room4Autism’, Muhammad Azeem Jafri, 22, berkata idea itu adalah inspirasi seorang rakan sekelas mereka yang mempunyai adik yang menghidap penyakit autisme.

“Penghidap penyakit autisme kebiasaannya akan mengalami simptom ‘tantrum’ dan ‘meltdown’, jadi kami cipta sebuah bilik khas untuk pelajar autisme ini supaya mereka boleh menenangkan diri dalam bilik tersebut.

“Kami membuat kajian bahawa penghidap autisme ini gemar kepada deria sentuhan dan kami cuba terapkan elemen yang boleh mereka sentuh, rasa, hidu dan lihat di dalam bilik itu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Projek bagi ‘Smart RB’, Mohamad Izhar Ibrahim, 22, berkata tong kitar semula itu mampu memupuk kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya untuk membuang sampah ke dalam tong kitar semula mengikut jenis bahan tersebut.

“Kami merancang untuk memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya untuk membuang sampah ke dalam tong kitar semula yang betul.

“Jadi, kami menggunakan komponen yang boleh mengesan jenis bahan tersebut sebelum tong sampah itu boleh dibuka,” katanya. – K! ONLINE

Oleh: Wan Amsyar Jailani
Sumber: http://www.kosmo.com.my/negara/38-penuntut-uitm-rangkul-emas-itex2019-1.895103

0
0