Seri Iskandar – Pada 30 April 2024 yang lalu, Ahli Jawatankuasa Tugas-tugas Khas, Program Pengantarabangsaan International Exposure (Inbound) UiTM Perak X HCDC, Filipina, telah menerima kunjungan delegasi akademik daripada Holly Cross Davao College (HCDC), Filipina bagi program 1 Day Campus Tour and Night Market Exploration di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Seramai 17 orang pelajar Program Sarjana Muda tahun akhir daripada dua kolej pengajian iaitu College of Humanities, Social Sciences and Communication dan School of Business and Management Education bersama dengan empat orang pensyarah pengiring telah menyertai lawatan ini.
Delegasi akademik ini merupakan peserta-peserta program inbound UiTM Cawangan Perak selama 23 hari di Malaysia yang telah dianjurkan oleh Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, UiTM Cawangan Perak, Kampus Tapah. Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan dalam program 1 Day Campus Tour and Night Market Exploration @ Seri Iskandar seperti lawatan dalam kampus ke bangunan akademik dan pentadbiran serta Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), lawatan ke Galeri Pemeran Al-Biruni dan sesi ramah mesra bersama para pelajar di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.
Delegasi ini tiba dari Kampus Tapah pada pukul 9.00 pagi dan telah dibawa ke Perpustakaan Tuan Abdul Razak (PTAR) bagi mendengar taklimat ringkas berkenaan kemudahan yang disediakan di perpustakaan, memperkenalkan pegawai-pegawai PTAR serta pekongsian amalan terbaik oleh Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, UiTM Cawangan Perak, Puan Siti Basriyah Shaik Baharudin. Dalam sesi ini juga, para peserta telah ditunjukkan beberapa demo perkhidmatan perpustakaan iaitu penggunaan Online Public Access Catalogue (OPAC) dan juga penggunaan pangkalan data serta web applications yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mahasiswa di UiTM Cawangan Perak. Pihak perpustakaan juga turut berbesar hati berkongsi amalan terbaik yang dilaksakanakan seperti dining in library serta sudut ilmu The Centre for Knowledge & Understanding of Tropical Architecture & Interior (KUTAI). Sudut ini digunakan oleh penggiat aktif KUTAI dalam pemindahan ilmu berkaitan kepada masyarakat berbentuk siri-siri webinar yang dijalankan di PTAR.
Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), Kampus Seri Iskandar diketuai oleh Yang Berusaha Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (TRHEA) Profesor Madya Ts Dr Norhayati Baharun, juga turut menyantuni delegasi ini. Lawatan ke BHEA ini juga telah memberikan ruang kepada para peserta untuk mengetahui lebih dekat tentang governans pentadbiran akedemik, pengiktirafan kelayakan program akademik daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan program-program pengajian yang ditawarkan di UiTM Cawangan Perak. Rombongan ini kemudiannya dibawa ke bangunan akademik Program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Senibina bagi merasai pengalaman bersama pelajar-pelajar program ini di dalam studio yang sedang membuat pembentangan reka bentuk bersama pensyarah. Sesi ini telah dikendalikan oleh Pensyarah Kanan, Program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Senibina Ts. Mohd Nasurudin Hasbullah. Ia telah memberi ruang kepada para peserta untuk beramah mesra bersama para pelajar, bertukar-tukar pendapat, berbincang secara ilmiah, berkenalan dengan lebih dekat antara dua negara serta silang budaya. Koordinator Program Diploma Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Encik Muhammad Asri Azuddin dan dibantu oleh Encik Mohamad Zaidi Sulaiman turut menyantuni delegasi ini dengan memberikan sedikit taklimat serta demo fotografi di bangunan akademik Kolej Pengajian Seni Kreatif. Mereka turut mengabadikan beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan bersama rakan-rakan pelajar dan pensyarah UiTM Cawangan Perak.
Pada sebelah petang, delegasi ini turut dibawa ke smart-classroom di Bangunan Akademi Pengajian Bahasa bagi sesi bersama warga pendidik dan pelajar Program Bachelor of Applied Language Studies (Hons.) English for Professional Communication di Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perak. Sesi santai ini merangkumi tayangan video pakai tradisional budaya negeri-negeri di Malaysia, nyanyian lagu rakyat serta kuiz. Sesi ini telah diketuai oleh Dr Daljeet Singh Sedhu yang merupakan Pensyarah Kanan serta merangkap Kordinator Unit Hal Ehwal Antarabangsa, UiTM Cawangan Perak. Diharapkan sesi ini dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran kebudayaan masyarakat di Malaysia buat para peserta. Selain itu, mereka juga turut berkesempatan untuk melawat Pameran Bakat Muda Mahasiswa dan Seni Visual: Chap Manjung 2024 (YAXAD) yang menghimpunkan koleksi karya kreatif para alumni dan pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif bertempat di Galeri Al-Biruni. Ia memberikan suatu pengalaman baru dan mengujakan buat para peserta disamping dapat menambah kenalan di Malaysia. Seterusnya delegasi mendengar taklimat daripada Centre For Postgraduate Studies yang dikendalikan oleh Koordinator Program CFAP763 iaitu, Profesor Madya Sr Dr Natasha Binti Khalil dan Koordinator Program CFAP992, Dr Izzatul Farrita Mohd Kamar bagi memberi penerangan mengenai peluang melanjutkan pengajian di peringkat pasca siswazah dan program-program homegrown UiTM Cawangan Perak.
Kemuncak lawatan ini adalah lawatan ke pasar malam UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar yang agak terkenal sejak lama dahulu dalam kalangan alumni dan mahasiswa. Deretan gerai yang memanjang ini menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman atau street food yang sering dinikmati oleh para pembeli dan penggemarnya. Walaubagaimanapun, cuaca tidak mengizinkan dan menyebabkan lawatan ke tapak pasar malam ini hanya berlaku dalam tempoh yang singkat! Delegasi ini telah pulang ke Kampus Tapah pada lewat petang hari tersebut. Adalah diharapkan, progam satu hari ini dapat memberikan manfaat dan pengalaman yang bermakna buat para peserta. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang pengendalian program ini dan tidak dilupakan juga buat pelajar-pelajar Kampus Tapah yang mengiring dan membantu perjalanan program pengantarabangsaan ini. Akhir kata sampai jumpa lagi di lain masa. Sa muling pagkikita HCDC!
Penulis: Najma Binti Azman, Dr Daljeet Singh Sedhu a/l Janah Singh, Ts. Mohd Nasurudin Hasbullah, Dr Junainah Mohamad dan Jufiza A. Wahab