ورشة تنمية المفردات العربية: Bengkel Peningkatan Kosa Kata Bahasa Arab Sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Negeri Kedah.

Research Interest Group Arabic language education (RIG ALE), UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama beberapa pihak iaitu Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Perlis, bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan (PJIMA), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Jerlun, SMKA Yan dan SMKA Sik telah menganjurkan bengkel peningkatan kosa kata bahasa Arab. Melalui program kolaborasi ini, para penceramah yang terdiri daripada pensyarah bahasa Arab APB UiTM Cawangan Perlis telah berkongsi kepakaran bahasa Arab mereka dengan memberikan pendedahan secara langsung mengenai strategi pembelajaran kosa kata bahasa Arab.

Bengkel ini telah dijalankan secara berperingkat bermula dari bulan April sehingga Julai 2024 di tiga buah SMKA yang terpilih. Bengkel pertama telah dijalankan pada bulan April dan Mei 2024 yang bertempat di SMKA Jerlun, kemudian diteruskan kepada program kedua dan ketiga yang telah berlangsung pada bulan Julai bertempat di SMKA Yan dan SMKA Sik. Penglibatan aktif lapan orang pelajar tingkatan 4 dan dua orang guru bahasa Arab daripada setiap sekolah telah membantu menjayakan bengkel ini.

Bengkel yang dilaksanakan ini bertujuan memberi pengetahuan mengenai pelbagai strategi dan kaedah pembelajaran kosa kata bahasa Arab yang boleh digunakan oleh pelajar secara kendiri. Taklimat khusus kepada pelajar telah disampaikan oleh penceramah yang terdiri daripada pensyarah kanan bahasa Arab UiTM Cawangan Perlis, Dr Nadhilah Abdul Pisal dan Dr Ummi Syarah Ismail, pelajar pascasiswazah APB iaitu Nadiah Abd Rahim dan Nur Zakirah Abd Hamid serta dibantu oleh barisan fasilitator yang mahir. Pelajar didedahkan dengan latihan strategi dan perlu melaksanakan aktiviti bahasa yang pelbagai merangkumi pengetahuan kosa kata, kebolehan mengingat kosa kata dan pengaplikasian kosa kata dalam ayat.

Bengkel kolaborasi ini bukan sahaja menyediakan platform untuk para pelajar atau guru berinteraksi secara langsung dengan pakar institusi, malah bengkel ini juga dapat mempromosikan UiTM sebagai salah sebuah universiti pilihan yang menawarkan pembelajaran bahasa Arab di peringkat pengajian tinggi.